Rupanya Ada 2 Cara Kira Zakat Pendapatan. Mana Satu Yang Lebih Murah?

cara-kira-zakat-pendapatan

Rasa berat nak bayar zakat dari pendapatan anda? Ini mungkin sebab anda tidak tahu ada 2 cara kira zakat pendapatan anda.

Ya, ada dua kaedah. Dan kaedah kedua itu mungkin mudah bagi anda.

Tapi sebelum itu, mari kita fahamkan dulu tentang jenis zakat ini.

Alang-alang nak beramal tu, biarlah kita faham kan?

Barulah seronok bila berzakat

 

Apa itu Zakat Pendapatan?

Zakat jenis ini dikenakan ke atas semua jenis sumber pendapatan, hasil upah yang diperolehi daripada perkhidmatan, pekerjaan dan aktiviti yang menghasilkan pendapatan.

 

Dalil Zakat Pendapatan

Terdapat beberapa dalil yang merujuk kepada kewajipan menunaikan zakat ke atas pendapatan tahunan. Di dalam al-Quran, Allah SWT berfirman (yang bermaksud):

“Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat)”

Al-Baqarah (2): 267

 

Selain itu, terdapat juga sebuah Hadis (yang bermaksud): Telah diceritakan oleh Said Bin Abi Burdah dari bapanya dari datuknya dari Nabi SAW bersabda:

“Sedekah ditekankan atas setiap Muslim, lalu para Sahabat bertanya: Wahai Nabi Allah, bagaimana dengan orang yang tidak mendapatkan (sesuatu untuk disedekahkan). Baginda SAW menjawab: Dia beramal dengan tangannya (kerja), sehingga dia bermanfaat bagi dirinya lalu dia bersedekah”

(HR: Bukhari & Muslim)

 

Al-athar para Sahabat turut menjadi dalil yang merujuk kepada zakat ke atas pendapatan kasar. Diriwayatkan daripada Abu Ubayd diterima daripada Hubayrah ibn Yarim, beliau berkata (yang bermaksud):

“Abdullah ibn Masud memberikan kepada kami sebuah bakul yang berisi barang yang bernilai, diambil sebahagiannya untuk membayar zakat.”

 

Sementara itu, menurut fatwa selepas diputuskan oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak, zakat pendapatan merujuk kepada pengeluaran wajib ke atas pendapatan yang meliputi apa-apa upah, gaji, elaun, imbuhan dan bonus (Subseksyen 34(1) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam 1993 [Akta 505]).

 

fatwa-zakat-pendapatan

Fatwa Zakat Pendapatan

Sebenarnya, terdapat dua jenis zakat pendapatan, di mana seseorang individu perlu membayar salah satu atau mungkin kedua-duanya sekali jika cukup syarat nisab zakat. 

 

Jenis yang pertama adalah zakat gaji.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-56 yang bersidang pada 7 Mei 2003 telah membincangkan Zakat Gaji Beserta Kadarnya. Hasil perbincangan, muzakarah telah memutuskan bahawa asas pengiraan zakat untuk pendapatan dan gaji adalah berdasarkan kepada pendapatan kasar setahun dan nisab zakat yang dikenakan ialah sebanyak 2.5% daripada jumlah pendapatan tersebut. 

 

Jenis yang kedua pula adalah zakat pendapatan professional.

Iaitu bagi individu tanpa pekerjaan kerja tetap di mana-mana syarikat jadi tidak memperoleh pendapatan bulanan. Jenis individu ini contohnya seperti perunding bebas, penulis buku, pengacara majlis, pelakon, dan sebagainya. 

Bagi pendapatan professional, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-31 dan Muzakarah Khas yang bersidang pada 9 Disember 1992 telah membincangkan Zakat Gaji & Zakat Pendapatan Professional.

Muzakarah telah memutuskan bahawa:

  1. Umat Islam boleh mengeluarkan zakat daripada pendapatan gaji dan Jabatan Hasil Dalam Negeri hendaklah memberi rebat zakat ke atas jumlah yang dibayar itu.

  2. Diwajibkan zakat ke atas pendapatan tahunan seseorang profesional kerana ia termasuk dalam zakat perniagaan.

 

cara-kira-zakat-pendapatan

Cara Kira Zakat Pendapatan #1

Anda hanya perlu tentukan jumlah pendapatan tahunan, kemudian darabkan dengan 2.5 peratus daripada jumlah pendapatan. Untuk lebih jelas, rujuk formula perkiraan zakat seperti berikut: 

Pendapatan Kasar Setahun x 2.5% = Jumlah zakat yang perlu dibayar.

 

Contoh A:

Pendapatan Abu adalah RM1,900 sebulan. Dalam setahun, pendapatannya adalah sebanyak RM22,800. Oleh kerana jumlah ini di bawah jumlah nisab, Abu tidak perlu membayar zakat sama sekali.

 

Contoh B:

Pendapat Muaz adalah RM5,500 sebulan. Dalam setahun, gajinya adalah sebanyak RM66,000. Oleh itu, Muaz perlu membayar zakat kerana jumlahnya lebih daripada nisab.

Jika ikut Kaedah #1, jumlah zakat yang perlu dibayara adalah;

= RM66,000 x 2.5%
= RM1,650

 

Walaubagaimanapun, Muaz ada pilihan untuk bayar zakat ikut Kaedah #2 seperti berikut.

cara-kira-zakat-pendapatan

Cara Kira Zakat Pendapatan #2

Muaz dibenarkan untuk menolak beberapa perbelanjaan keperluan sebelum kadar zakat keatas pendapatannya dikira. Mengikut Majlis Agama Islam, perbelanjaan yang dibenarkan adalah seperti berikut, bersama jumlah yang boleh ditolak:-

  • Perbelanjaan Diri: RM12,000
  • Perbelanjaan Isteri: RM5,000
  • Perbelanjaan Anak-anak:
    – Berumur bawah 18 tahun: RM2,000 seorang
    – Berumur atas 18 tahun dan masih belajar: RM5,000

  • Pendidikan sendiri: RM2,000
  • Pemberian kepada ibu bapa (RM100 x 12 bulan): RM1200
  • KWSP (11%): RM7,260 setahun bagi Saiful

Oleh itu, jika Muaz punyai perbelanjaan setiap satu seperti di atas, dia dibolehkan untuk tolak RM34,460 daripada pengiraan zakat pendapatan bagi dirinya.

Oleh itu, jumlah zakat yang perlu dibayar oleh Muaz pada tahun itu seperti berikut:

(RM66,000 – RM34,460) x 2.5% = RM788.50 

Jumlah zakat pendapatan yang perlu dibayar oleh Muaz adalah sebanyak RM788.50.

 

Tip Zakat

Bagi sesetengah orang, bayar zakat sekali gus untuk setahun tu akan terasa berat. Walaupun dah guna kaedah penolakan perbelanjaan asasi, tetap terasa berat nak bayar zakat.

Jadi, anda boleh buat bayaran zakat bulanan. Anda juga boleh buat potongan zakat bulanan.

Kira zakat anda siap-siap dengan menggunakan kalkulator zakat kami atau hubungi kami terus untuk bantuan potongan zakat bulanan.

Sebarkan manfaat:

    Ada soalan? Sila komen disini:

    © 2023 Ezy Zakat. Hak Cipta Terpelihara.